Friday, July 4, 2008

PEDULI

Pernahkah kita merenung gelapnya malam? Atau cemerlang senja di ufuk langit? Barangkali dalam jeda kehidupan, kita pernah melakukannya. Tetapi persoalan yang lebih penting; apakah makna dari perenungan kita? Adakah Cuma pandangan kosong, ataupun punya erti-erti lain. Perenungan kita… kitalah yang mendefinisikannya.

Pernahkah kita bertanya mengapa malam itu gelap? Mengapa langit senja sebegitu merahnya? Barangkali sebahagian dari kita pernah, dan sebahagian yang lain bahkan tidak pernah mendapatkan momentum untuk sekadar mengambil tahu.

Dalam kehidupan sehari-hari, mengambil tahu itu adalah peduli. Bagaimana subuh kita pagi ini? Barangkali kita boleh tersenyum lega kerana subuh kita ‘selamat’. Alhamdulillah. Tetapi, masih ada lagi persoalan yang mengiringi. Sudahkah teman serumah atau sebilik kita menunaikan solat subuh pada pagi ini?

Ini adalah persoalan kepedulian. Adakah kita prihatin dengan keadaan teman kita, sahabat kita dan saudara-saudara kita? Sabda Baginda S.A.W. “Siapa yang berpagi-pagi dan tidak mempedulikan urusan kaum Muslimin, bukanlah dia dari kalangan mereka”

Bagaimana kondisi teman kita pada hari ini? Sihatkah? Sakitkah? Sudah makan atau belum? Sedang kesulitan atau lagi senang? Inilah persoalan yang paling dekat dengan skenario kehidupan seharian kita. Menebar kepedulian merupakan bahagian dari kehidupan. Indahnya Islam, semua yang bernaung di bawah kalimah-Nya adalah bersaudara.

Tidak kira di belahan bumi mana sekalipun, asal kalimah Tauhid yang sama kita pegang, kita adalah bersaudara, dan rasa persaudaraan ini punya tanggungjawabnya yang tersendiri. Kepedulian merupakan satu ranting dari cabang-cabang pohon ukhuwwah. Palestin, Iraq, bahkan bumi yang kita jejaki sekarang ini, adalah bumi Umat Islam. Apakah bentuk kepedulian kita pada nasib mereka, meski sekadar lewat sepotong doa pengharapan.

Peduli, barangkali merupakan satu perkataan dengan enam abjad. Tetapi menebar kepedulian lewat kata-kata sapa atau senyuman, punya makna-makna yang dapat mewarnai hari-hari kita. Jangan sampai kita menjadi renggang kerana tidak peduli. Renungkanlah, betapa kepedulian punya kesenangannya yang tersendiri.


2 comments:

BondingSisters said...

Alhamdulillah, sekali lagi sy diingtkan. syukran

ibn taqiyyah said...

Laa syukran Ala Waajib. Ana juga memperingatkan diri sendiri. Alhamdulillah kalau sahabat2 dapat mengambil manfaat.