Sunday, November 16, 2008

Langkah Pertama

Orang bijak pandai ada mengatakan perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah yang pertama.

Begitulah dalam lembar-lembar kehidupan yang telah dan akan kita lalui, kita sering dituntut untuk mengambil langkah pertama , kerana bermula darinya, barulah episod yang bernama kehidupan terungkap satu demi satu.

Meski kata-kata yang terlafazkan; mudah seiring ringannya lidah, tetap hati kita tidak jarang diterpa keraguan, bermonolog dengan segala kemungkinan kerana kita tahu bahawa konsekuensinya tidak mudah, risikonya tak terjangkakan dan kesudahannya adalah penamat; bisa saja sukses dan bisa juga gagal.

Meninggalkan kampung halaman dan kehangatan kasih keluarga demi sebuah cita, kita semua sebenarnya telahpun mengambil langkah yang pertama. Sedar ataupun tidak.

Justeru dalam ketidakpastian dan mungkin sedikit prasangka yang menyelubungi, kita masing-masing menggagahkan diri, mengambil langkah dalam sangsi, apa benar ini langkah yang harus kita ambil? Apa kita tidak salah?

Keraguan pasti menghunjam meski dalam lubuk hati yang paling dalam sekalipun. Akan tetapi, buka mata dan lihat keberadaan dan eksistensi kita di atas bumi yang asing ini adalah suatu yang nyata. Ada beban yang tidak sedikit dari cita-cita yang cuba kita raih.

Barangkali rasa dan perasaan yang serupa dirasakan oleh seorang Umar bin Abdul Aziz apabila diberikan amanah sebagai khalifah. Langkah pertama baginya terasa sungguh berat dan sulit. Meninggalkan kemewahan seorang bangsawan yang dilakoninya sejak kecil untuk sebuah kehidupan yang sangat sederhana. Langkah pertama yang diambilnya menuntut sebesar-besar pengorbanan kerana tidak ada lagi akhir yang dia dambakan, tidak ada lagi matlamat yang lebih tinggi yang dia harapkan selain syurga.

Segalanya bermula dari langkah pertamanya yang menanggalkan segala kebesaran raja sehingga akhir perjalanan masa kekhalifahannya yang singkat merupakan momen paling cemerlang dalam catatan sejarah sepanjang pemerintahan khilafah Umayyah.

Menepis keraguan dan menetapkan akhir dari sebuah perjalanan hidupnya, tekad inilah yang telah menghantar namanya yang harum sebagai Khalifah Ar-Rasyidin yang kelima.

Maka, bermula dengan langkah yang pertama, harus ada tekad dan matlamat sekeras baja, rencana kesudahan dari akhir perjalanan seharusnya sudah disemat awal-awal dan usaha-usaha merealisasikannya sudah bergerak dari sekarang, kerana langkah pertama ini adalah langkah yang menentukan...